Kenyataan Akhbar oleh Wong Hon Wai, Setiausaha Politik kepada Ketua Menter Pulau Pinang, pada 25-2-2016 di George Town, Pulau Pinang
Saya ingin membalas kenyataan bertarikh 24-2-2016 oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kebun Bunga Cheah Kah Peng.
1. Operasi utama Perbadanan Bukit Bendera samada bangunan letak kereta bertingkat, kaunter penjualan tiket, trek keretapi, platform scenic view, pusat penjaja, hotel dan restoren bukanlah di kawasan KADUN Kebun Bunga.
Kawasan teras Bukit Bendera sebenarnya berada di kawasan KADUN Air Putih. Beberapa KADUN berjiranan dengan Bukit Bendera iaitu Air Itam, Teluk Bahang, Pulau Betong dan Kebun Bunga.
Kenyataan Cheah bahawa pengundi Kebun Bunga dinafikan hak penyertaan dalam urusan Perbadanan Bukit Bendera adalah satu kenyataan yang tidak berasas. ADUN Kawasan berjiranan dengan Bukit Bendera iaitu ADUN Pulau Betong dan ADUN Teluk Bahang juga bukannya pengarah Perbadanan Bukit Bendera.
Tambahan pula, Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari merupakan pengarah Perbadanan Bukit Bendera dan beliau sememangnya layak mewakili pengundi Kebun Bunga dalam perkara ini.
2. Sebelum mesyuarat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada Nov 2015, ADUN-ADUN Pakatan Harapan telah menghadiri satu mesyuarat pre-council pada 4-11-2015. Dalam mesyuarat tersebut, semua perkara berkenaan dengan Dewan Undangan Negeri telah dibincangkan. Ketua Menteri Pulau Pinang telah mengumumkan pendirian Kerajaan Negeri membantah usul yang dikemukakan oleh UMNO. Backbencher PKR termasuk Cheah Kah Peng tidak menyatakan pandangan mereka berkenaan perkara ini dan tidak juga menyatakan bantahan. Kesemua 29 ADUN Pakatan Harapan menghadiri mesyuarat tersebut kecuali ADUN Penanti yang memohon cuti sakit.
Persidangan DUN Pulau Pinang telah bermesyuarat selama 6 hari. Usul UMNO adalah pada hari terakhir mesyuarat iaitu 20-11-2015. Sepanjang 6 hari mesyuarat ini, Cheah Kah Peng dan keempat-empat backbencher PKR tidak memberitahu rakan-rakan ADUN dalam Pakatan Harapan samada dalam DUN atau secara persendirian bahawa mereka mempunyai pandangan berlainan berkenaan usul UMNO tersebut. Mereka turut tidak memberitahu ketiga-tiga EXCO PKR dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Kelima-lima Backbencher PKR termasuk Cheah Kah Peng turut tidak menyertai dalam perbahasan usul UMNO. Rakan-rakan ADUN Pakatan Harapan hanya mengetahui rancangan mereka apabila mereka melafazkan undi berkecuali dalam mesyuarat DUN.
Selepas 3 bulan, Cheah Kah Peng pula sekarang cuba menjustifikasikan tindakan berkecuali beliau. Ini bukan satu tindakan yang bertanggungjawab.
Cheah dalam keadaan tidak memaklumkan kepada rakan-rakan di Kerajaan dan membelakangi keputusan bersama dalam mesyaurat pre-council. Tindakan ini merupakan tindakan membelakangi kepercayaan dan tiada bezanya dengan “a stab at the back”. Sekiranya Cheah ingin mengundi berkecuali, kenapa tidak membangkitkan perkara ini dalam mesyuarat pre-council? Kenapa pula tidak memberitahu rakan-rakan dalam Kerajaan sepanjang 6 hari bermesyuarat Dewan Undangan Negeri? Sekiranya beliau lakukan demikian, Kerajaan Negeri pasti akan berbincang dengan beliau.
3. Cheah Kah Peng dalam sidang medianya juga mengadu tiada peluang untuk menmyertai perdebatan usul. Ini sebenarnya adalah satu pembohongan. Saya berpandangan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang YB Dato Law Choo Kiang memberi ruang dan masa yang mencukupi kepada para ahli dewan untuk menyertai perdebatan sehingga perdebatan berlarutan sampai pukul 11 malam selama beberapa hari. Tujuh orang ADUN menyertai perdebatan dalam usul UMNO tersebut tetapi Cheah Kah Peng tidak menyertai perdebatan.
4. Cheah Kah Peng juga cuba mendapatkan kredit bahawa dia mendorong penganjuran forum awam berkenaan Pelan Induk Pengangkutan. Itu tidak benar dan hanya merupakan imaginasi beliau. Ini kerana beliau berdiam diri semasa perdebatan dan tidak pernah membuat cadangan sedemikian.
5. Sekiranya Cheah Kah Peng berpandangan bahawa pelucutan jawatan Pengarah dalam Perbadanan Bukit Bendera adalah tidak mematuhi undang-undang, maka beliau boleh menggunakan saluran undang-undang untuk mengesahkan pandangannya.
--------------------------------------------------------